Wednesday, March 11, 2015

Kepemimpinan terserlah menerusi tindakan, amanah laksana tugas


Assalam,

Din tinggal di Pekan Sepang
Lokasinya Taman Bunga Raya
Seandainya ada masa lapang
Jemput baca artikel saya


Rabu, 11 Mac 2015


Kepemimpinan terserlah menerusi tindakan,
amanah laksana tugas


Sejak sekian lama, topik berkenaan kepemimpinan dan pemimpin menjadi subjek kegemaran dalam kalangan penulis  termasuk ahli akademik, penyelidik, ahli politik. Ramai kalangan mereka bersetuju bahawa ciri utama seorang pemimpin ialah kelakuan yang baik. Kebolehan memimpin adalah di tempat kedua.     

Mengikut Bruce R. Jewell di dalam bukunya, An Integrated Approach to Business Studies, kepemimpinan ialah suatu kemahiran atau proses untuk mempengaruhi seseorang membuat apa jua tugas yang diberi dengan rela serta melakukannya secara efektif dan efisien.

Pemimpin pula ialah seseorang yang mengetuai sekumpulan orang, khususnya ketua bagi sesebuah negara atau organisasi. Ini adalah definasi seperti yang terdapat di dalam kamus Oxford Advanced Learner’s Dictionary.

Kredibiliti pemimpin bergantung kepada cara hidup
John C. Maxwell yang menulis di dalam bukunya, New Leadership 101, berkata: “Kredibiliti seseorang pemimpin dan juga haknya untuk diikuti bergantung kepada cara kehidupan dan juga apa yang dituturnya”.  

Pemimpin yang sesuai untuk diikuti ialah apabila seseorang itu mempamerkan sifat atau ciri yang elok, di antaranya ialah integriti.
Apakah yang dimaksudkan dengan integriti? Mengambil contoh sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), ia menggunakan perkataan integriti sebagai salah satu elemen dalam cogan kata korporatnya. Elemen yang lain ialah kebijaksanaan dan kecemerlangan.

Bagi mereka, integriti ialah berkenaan sesuatu nilai dan akhlak yang betul dalam kehidupan. Ia dilihat sebagai tulang belakang yang memegang teguh akan sesuatu keperibadian yang positif.

Satu lagi IPTS juga mengiklankan cogan kata mereka dengan menggunakan perkataan-perkataan integriti, kualiti dan penyayang.

IPTS yang ketiga pula membuat publisiti seperti berikut: Integriti yang menentukan pengambilan kerja dalam dunia korporat.       

Oxford Dictionary pula memberikan definasi bagi integriti sebagai sesuatu yang mempunyai kualiti dari segi amanah serta mempunyai prinsip moral yang tinggi. Jika seseorang pemimpin itu amanah, beliau akan bercakap benar dan tidak berbohong atau pun menipu.

Dapat  beza mana betul, salah
Moral pula bolehlah dihuraikan sebagai mempamerkan sesuatu kelakuan yang betul serta standard yang biasa diterima oleh masyarakat. Ia juga boleh memahami serta dapat membezakan di antara mana kelakuan yang betul dan yang salah.

Contoh yang paling cemerlang dari segi integriti ini ialah Nabi Muhammad SAW. Sewaktu hayatnya, Baginda diberikan gelaran sebagai “al-Amin”, yang bermaksud orang yang dipercayai.

Seorang penulis, George E. Wolf, P.E. ada mengatakan bahawa ramai antara kita suka menambah atau mereka cerita di dalam laporan, penyampaian atau sewaktu mengemas kini sesuatu program. Ia bertujuan untuk menarik minat atau agar sesuatu laporan boleh diterima ramai. Mengikut beliau, integriti dan mereka cerita ini adalah konsep yang tidak selari atau secocok.

Ramai juga, antaranya pemimpin politik dan korporat memberikan ulasan tentang konsep integriti ini.
Antaranya adalah:

- Kecekapan dan kebolehan penjawat awan adalah sangat mustahak dan integriti mestilah menjadi pelengkapnya.

- Di sebabkan kurangnya sifat integriti, ramai pemimpin korporat telah kecundang sewaktu krisis kewangan Asia pada 1997.

- Apabila anda hidup dengan amalan integriti, anda berjaya. Anda mempunyai sifat yang terbuka dan jujur. Dengan itu, kehidupan harian anda tidaklah berserabut, malahan anda kurang mengelamai perasaan tekanan.

Kajian pekerjaan
Dalam tahun 2006, Mori of United Kingdom dan Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM) berganding bahu membuat satu soal selidik mengenai 15 jenis pekerjaan. Responden di United Kingdom dan Malaysia mempercayai profesional berikut: Pertama ialah doktor; kedua guru dan ketiga profesor. Ahli politik diletakkan diparas bawah sekali.

Jika seseorang pemimpin mempunyai sifat integriti, dia mempunyai kebebasan untuk membuat sesuatu keputusan dengan bebas, tanpa memihak kepada sesuatu kumpulan. Pertimbangan hanya dibuat untuk kebaikan syarikat atau organisasi yang dipimpinnya.

Seseorang pemimpin akan diikuti di sebabkan para pengikut mempunyai rasa hormat serta percaya kepadanya, bukan sekadar di atas kebolehan memimpin yang dimilikinya.   

Penulis adalah bekas Pengurus sebuah GLC

20 Jamadilawal 1436H


No comments:

Post a Comment