Monday, July 27, 2015

Ikutlah pemimpin yang berintegriti



Assalamualaikum,



Ikutlah pemimpin yang berintegriti

Subjek berkenaan kepemimpinan dan pemimpin telah menjadi perkara perbincangan yang disukai oleh penulis; termasuklah ahli akademik, penyelidik, ahli politik dan lain-lain. Mereka bersetuju bahawa kualiti utama bagi seorang pemimpin ialah keperibadian yang baik. Kecekapan untuk memimpin adalah di tempat kedua.     

Mark Sanborn yang menulis dalam bukunya, You Don’t Need A Title To Be A Leader, berkata bahawa kepemimpinan ialah satu seni atau kebolehan untuk mendapatkan pelaksanaan yang luar biasa dari seorang pekerja biasa.

Pemimpin pula ialah seseorang yang mengetuai sekumpulan orang, khususnya ketua bagi sesebuah negara atau organisasi. Ini adalah definasi seperti yang terdapat di dalam kamus Oxford Advanced Learner’s Dictionary.

Dua orang penulis iaitu Harvey Robbins dan Michael Finley yang menulis di dalam buku mereka, The Accidental Leader, pula berkata: “Anda tidak perlu menjadi seorang yang sempurna untuk menjadi seorang pemimpin yang tertib”.   

Namun, pemimpin yang sesuai untuk diikuti ialah apabila seseorang itu memperlihatkan sifat atau keperibadian yang elok, di antaranya ialah integriti.

Kita ingin bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan integrity ini? Sebagai contoh, penulis ada membaca satu iklan di dalam sebuah akhbar arus perdana, di mana sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menggunakan perkataan integriti sebagai salah satu daripada tiga elemen di dalam cogan kata korporatnya. Elemen yang dua lagi ialah kebijaksanaan dan kecemerlangan.

Bagi IPTS ini, integriti ialah perihal sesuatu nilai dan akhlak yang betul dalam kehidupan kita. Ia dilihat sebagai tulang belakang yang memegang teguh akan sesuatu keperibadian yang positif.

Sebuah lagi IPTS juga mengiklankan cogan kata mereka dengan menggunakan perkataan-perkataan integriti, kualiti dan penyayang.

Manakala IPTS yang ketiga pula membuat publisiti seperti berikut di dalam iklan mereka: integriti yang menentukan pengambilan kerja dalam dunia korporat.       

Oxford Dictionary pula memberikan definasi bagi integriti sebagai sesuatu yang mempunyai kualiti dari segi amanah serta mempunyai prinsip moral yang tinggi. Jika seseorang pemimpin itu seorang yang amanah, beliau akan bercakap benar dan tidak berbohong atau pun menipu.

Moral pula bolehlah dihuraikan sebagai mempamerkan sesuatu kelakuan yang betul serta standard yang biasa diterima oleh masyarakat. Pemimpin yang bermoral boleh memahami serta dapat membezakan di antara mana kelakuan yang betul dan yang salah.

Contoh yang paling cemerlang dari segi integriti ini ialah Nabi Muhammad SAW. Ketika hayatnya, baginda Rasulullah diberikan gelaran sebagai “al-Amin”, yang bermaksud orang yang dipercayai.

Seorang penulis, George E. Wolf, P.E. ada mengatakan bahawa ramai di antara kita suka menambah atau mereka cerita di dalam laporan, penyampaian atau semasa mengemaskinikan sesuatu program. Ia bertujuan untuk menarik minat atau agar sesuatu laporan itu boleh diterima ramai. Mengikut beliau, integriti dan mereka cerita ini adalah konsep yang tidak selari atau secocok.

Ramai juga pemimpin politik dan korporat di tanah air yang memberikan ulasan tentang konsep integriti ini. Di antaranya adalah seperti berikut:

- Kecekapan dan kebolehan penjawat awam adalah sangat mustahak dan integriti mestilah menjadi pelengkapnya.

- Di sebabkan kurangnya budaya integriti, ramai pemimpin korporat telah kecundang semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dahulu.

- Apabila anda hidup dengan mengamalkan integriti, anda berjaya. Anda mempunyai sifat yang terbuka dan jujur. Dengan itu, kehidupan harian anda tidaklah berserabut, malahan anda kurang mengelamai perasaan tekanan.

Dalam tahun 2006, Mori of United Kingdom (UK) dan Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM) telah berganding bahu membuat soal selidik tentang 15 jenis pekerjaan. Para responden di UK dan Malaysia mempercayai profesional berikut: pertama ialah doktor; kedua guru dan ketiga profesor. Ahli politik diletakkan diparas bawah sekali.

Dalam kata lain, jika seseorang pemimpin itu mempunyai sifat integriti, dia mempunyai kebebasan untuk membuat sesuatu keputusan dengan bebas, tanpa memihak kepada sesuatu kumpulan. Pertimbangan hanya dibuat untuk kebaikan syarikat atau organisasi yang dipimpinnya.

Seseorang pemimpin akan diikuti di sebabkan para pengikut mempunyai rasa hormat serta percaya kepadanya, bukan sekadar diatas kepandaian memimpin yang dimilikinya.   

Sebagai kesimpulan, kita tidak perlu menghadiri kursus kepemimpinan di Harvard University atau University of Cambridge untuk mengetahui bahawa ujian asid seseorang pemimpin ialah untuknya menoleh kebelakang. Ini adalah bertujuan untuk mengetahui sama ada masih ada lagikah para penyokong yang mengikutnya.  

 11 Syawal 1436H

2 comments:

  1. intergriti tu seolah sangat ekslusif, sangat mahal, sampai tak mampu pemimpin untuk memilikinya...cuma sekadar laungan tiada dipraktikkan.

    terima kasih sudi berkunjung ke blog.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, saudari Yaya di atas komen yang berguna.

      Sememangnya integriti adalah sesuatu yang susah hendak dipraktikkan.

      Cuma kita boleh ambil contoh dari kehidupan Nabi SAW dan para sahabat di masa lalu.

      Namun, integriti boleh dipertingkatkan dengan insan mengurangkan amalan rasuah (satu perkara yang terjadi tetapi susah hendak dibuktikan).

      Hj. Kamaruddin b Hassan

      Delete