Friday, October 23, 2015

Khusyuk bersolat di Surau Ar-Rahmah


Assalamualaikum,


Aduka mengail ikan kurau
Pergi bersama dengan Aiman
Jika berulang-alik rumah ke surau
Tanda di hatinya ada iman


Lokasi Surau Ar-Rahmah di Jalan Liku 8/A, Seksyen 8, Shah Alam di Selangor memberikan kesenangan kepada jemaah setempat dan juga tetamu untuk menunaikan solat berjemaah. Kedudukannya di tepi jalan utama adalah begitu strategik serta mempunyai persekitaran yang damai untuk beramal.

Di waktu mana ramai orang yang masih tidur dan dibuai mimpi indah, muazin bertugas melaungkan azan apabila tiba masanya. Ini bertujuan memanggil jemaah supaya datang ke surau untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Lumrahnya, solat yang paling payah untuk dilakukan secara berjemaah ialah solat subuh. Pada waktu pagi sebegini, banyak dugaan yang kita hadapai untuk datang ke rumah Allah bagi tujuan beribadat kepadaNya.

Perlu diingatkan bahawa mendirikan solat sunat dua rakaat sebelum menunaikan solat subuh berjemaah mempunyai banyak fadilatnya.

Sebelum memulakan solat lima waktu, imam bertugas sentiasa memberi ingatan kepada jemaah. Sebagai contoh, imam muda Ustaz Nik Ahmad Lokman Nik Mat berkata: “Luruskan dan rapatkan saf tuan-tuan. Rapatkan bahu dan samakan tumit di belakang.” Beliau juga menambah: “Pastikan telefon bimbit anda berada dalam keadaan tertutup apabila berada di dalam saf”. 

Makmum di surau ini peka bahawa deringan telefon bimbit boleh mengganggu fokus para jemaah ketika bersolat. Seorang lagi imam yang berpengalaman, Dato’ Dr. Mohamad Ali Hassan yang juga mantan Pengerusi AJK Surau Ar-Rahmah ini selalu mengingatkan jemaah sebelum memulakan solat. Beliau berkata: “Matikan bunyi telefon bimbit anda”. Malah ingatan ini juga dibuat dalam bahasa Inggeris.

Bilangan jemaah di Surau Ar-Rahmah ini agak ramai. Biasanya dewan solat utama memuatkan sebanyak sembilan baris saf, di mana setiap saf terdiri dari lebih kurang dua puluh lima orang jemaah. Jemaah perempuan pula bersolat di ruang khas di belakang dewan solat utama.

Surau Ar-Rahmah ini mempunyai jadual harian yang kemas. Muazin dan imam yang bertugas untuk setiap solat lima waktu telah dikenal pasti terlebih dahulu. Nama-nama mereka ada tersenarai dan ditampal di papan kenyataan surau. 

Majlis ilmu adalah menjadi tulang belakang aktiviti surau Ar-Rahmah ini. Penceramah dari Selangor dan juga dari negeri-negeri lain termasuk dari luar negara dijemput untuk menyampaikan ceramah di sesi majlis ilmu selepas solat maghrib. Kuliah ini diadakan pada setiap malam dan biasanya memakan masa lebih kurang satu jam.

Nama-nama penceramah serta topik yang akan disampaikan biasanya diedar pada setiap hujung bulan. Surau ini juga mengadakan kuliah selepas solat subuh pada setiap hari Sabtu, Ahad atau pada hari cuti umum. Pendek kata, surau Ar-Rahmah ini sarat dengan aktiviti majlis ilmu untuk para jemaahnya.  

Dalam bulan Ramadan pula, solat sunat tarawih dan witir telah diimamkan oleh Ustaz Irsyad dari Padang. Majlis ilmu yang berupa tazkirah juga di adakan di antara solat tarawih. Tazkirah pendek juga di adakan selepas solat zohor pada hari-hari minggu.

AJK Surau Ar-Rahmah ini peka dengan keperluan sesetengah jemaah. Bagi jemaah yang memerlukan, surau ini memberi ruang untuk menunaikan hajat mereka. Penulis ada bertanyakan tentang perkara ini kepada Setiausaha AJK Surau Ar-Rahmah, iaitu Haji Ab. Halim Ab. Rahman.

Beliau berkata: “Biasanya, antara lain jemaah memohon untuk diadakan solat hajat, tahlil arwah, doa selamat, tahnik bayi baharu lahir, takbir malam raya dari rumah ke rumah dan lain-lain. Pengurusan jenazah juga dikelolakan oleh surau ini”.

Dari pengamatan penulis yang menjadi jemaah di Surau Ar-Rahmah lebih dari lima tahun merasakan bahawa surau ini adalah lengkap dan selesa dalam memenuhi keperluan jemaah yang mempunyai pelbagai permintaan.

10 Muharam 1437H
 

No comments:

Post a Comment