Saturday, June 20, 2015

Selamat datang wahai Ramadan


Assalam,


Orang kita suka durian
Banyak dijual di Kampung Paya
Terima kasih Sinar Harian
Menyiarkan puisi & pantun saya




(1) Selamat datang wahai Ramadan



(1)
Ramai pesawah di Sabak Bernam
Kerja berpeluh sihatkan badan
Matahari Syaaban hampir terbenam
Selamat datang wahai Ramadan

(2)
Kawan sepejabat bernama Shahdan
Dia berasal dari Jerantut
Perbanyak amalan ketika Ramadan
Solat tarawih sangat dituntut

(3)
Abu Bakar nama masyhur
Memasuki syurga sudah terjamin
Jangan terlupa untuk bersahur
Amalan Nabi dan mukmin

(4)
Cuti sekolah pergi ke Selama
Ditemani sahabat bernama Islah
Iftar dimulakan dengan kurma
Itu adalah sunah Rasulullah

(5)
Imam masjid bernama Hasbullah
Muazin pula ialah Hamdan
Selalulah sebut nama Allah
Tingkatkan ibadat di bulan Ramadan

(6)
Tanam jambu di rumah bapa
Petik buah gunakan galah
Mulut berbau tidak mengapa
Harum kasturi di sisi Allah

(7)
Melawat klia2 hari Selasa
Pergi selepas waktu kerja
Hulurlah bantuan sepanjang masa
Bukan sekadar Ramadan sahaja


(8)
Solat Jumaat di Pulau Rusa
Berbaju Melayu warna merah
Ketika menjalani ibadat puasa
Segerakan membayar zakat fitrah



(2) Pemimpin amalkanlah rasmi padi
 



Ambien sekarang sudah berubah
Pemimpin baharu banyak diketengah
Belum tentu selesaikan masalah
Cara perlaksanaan asyik berubah-ubah.

Menjadi pemimpin antara rezeki
Jadilah seperti padi yang berisi
Jangan sampai lupa diri
Bukan sekadar duduk di kerusi.

Jadilah seperti padi yang berisi
Bergunakah pemimpin kepada pengundi
Sesuatu kebuntuan kena diperhalusi
Gunakan akal bukan ikut hati.

Jadilah seperti padi yang berisi
Tunjuk hormat kepada pemerintah negeri
Rakyat diam tetapi memerhati
Pemimpin jangan bersikap hidung tinggi.
 
Padi yang berisi semakin tunduk
Banyak terdapat di merata pelusuk
Jadilah seorang pemimpin yang elok
Rakyat sejahtera tidak berkecamuk.

Padi yang berisi akan dituai
Pemprosesan di kilang bila sesuai
Pilihlah pemimpin di antara ramai
Bukan sekadar kicauan burung murai
Atau ayam jantan kokok berderai.

  
3 Ramadan 1436H

 

No comments:

Post a Comment