Cuti sekolah pergi ke Selama
Bawa pulang buah pala
Solat adalah tiang agama
Jika khusyuk menambah pahala
Jemaah khusyuk mendengar kuliah Maghrib di Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor
Kedudukan Surau Ar-Rahmah yang
terletak di Jalan Liku 8/A, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor ternyata menyenangkan
para jemaah tempatan serta penduduk dari luar kawasan melakukan ibadat. Ini
kerana kawasannya yang agak strategik serta mempunyai persikataran yang tenang
untuk beramal.
Bermula dari waktu Subuh lagi,
para jemaah lelaki dan wanita sudah ramai yang datang. Ia termasuk pelajar dari
luar negara yang tinggal berdekatan dengan surau ini.
Menurut imam surau tersebut, Mohd
Yasin Mohd Sulaiman, solat yang paling payah untuk dilaksanakan secara
berjemaah ialah solat Subuh. Pada waktu pagi sebegini, banyak dugaan yang dihadapai
untuk datang ke surau bagi tujuan beribadat kepada Allah SWT.
Sebelum memulakan solat, setiap imam
bertugas sentiasa memberi ingatan kepada jemaah. Pesanan wajib mereka berbunyi,
“Luruskan dan rapatkan saf tuan-tuan. Rapatkan bahu dan samakan tumit di
belakang. Ini adalah mengikut sunah Rasulullah SAW”.
Para makmum di surau ini peka
dengan gangguan bunyi telefon bimbit semasa solat. Deringan daripada telefon
bimbit boleh mengganggu fokus para jemaah. Seorang lagi imam yang juga mantan
pengerusi AJK Surau, Dato’ Dr. Mohamad Ali Hassan selalu mengingatkan para
jemaah sebelum memulakan solat dengan peringatan, “Matikan bunyi telefon bimbit
anda”. Malah turut disebutkan dalam bahasa Inggeris.
Alhamdulillah, bilangan jemaah surau
itu agak ramai. Dewan solat utama boleh memuatkan sebanyak 10 baris saf, di
mana setiap saf terdiri dari lebih kurang 25 orang jemaah. Manakala, bagi jemaah
wanita, pihak pengurusan surau turut menyediakan ruang solat khas di bahagian belakang
surau itu.
Surau Ar-Rahmah telah dirasmikan pada
20 April 1995, mempunyai jadual harian yang kemas. Muazin dan imam yang bertugas
untuk setiap waktu solat telah dikenal pasti terlebih dahulu. Nama-nama mereka
ada tersenarai dan ditampal di papan kenyataan surau.
Sementara itu, penganjuran majlis
ilmu adalah menjadi tulang belakang aktiviti surau Ar-Rahmah ini. Penceramah
dari sekitar Selangor dan juga dari negeri-negeri lain juga dijemput untuk menyampaikan
ceramah di sesi majlis ilmu selepas solat Maghrib. Kuliah ini diadakan pada
setiap malam dan biasanya memakan masa lebih kurang satu jam.
Nama-nama penceramah serta topik yang
akan disampaikan biasanya diedar pada setiap hujung bulan. Surau ini juga
mengadakan kuliah selepas solat Subuh pada setiap hari Sabtu, Ahad atau pada
hari cuti umum. Pendek kata, surau Ar-Rahmah ini sarat dengan aktiviti majlis
ilmu untuk para jemaahnya.
Bagi para jemaah yang memerlukan,
surau ini memberi ruang kepada jemaah yang memohon untuk diadakan solat hajat,
tahlil arwah, doa selamat dan lain-lain. Pengurusan kematian juga dikelolakan
oleh surau ini.
Seorang veteran surau ini, Baharum
Omar berkata, “Surau Ar-Rahmah ini lengkap bagi jemaah di Seksyen 8, Shah Alam
ini. Kita kenalah sama-sama menjaganya”.
Surau Ar-Rahmah terletak di Jalan Liku 8/A, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor
17 Syaaban 1436H
Salam Tuan Haji,
ReplyDeleteSurau ni memang terkenal dan menjadi tumpuan jemaah
Waalaikumussalam,
DeleteSaya tinggal di Shah Alam,
Rumah keduaku surau Ar-Rahmah,
Nabi ringkaskan makna Islam,
Beriman kepada Allah & istiqamah.
Terima kasih.
Hj. Kamaruddin b Hassan