Sunday, October 2, 2016

Puisi 1 Muharam 1438H


Assalamualaikum Wa Rahmatullah,


(1)

 Di hadapan Kaabah, Sabtu, 1 Muharam 1433H (26 November 2011)

Kalendar Islam bermula 1 Muharam, 
Teringat daku berada di Masjidilharam,
Berazam tidak mahu kehidupan yang suram,
Bertekad menjauhi segala perbuatan haram.


(2) 

 Ambien damai di Kampong Banggol Sena, Mata Ayer, Perlis


1 Muharam pulang ke Perlis, 
Sempat juga pergi berbekam,
Pepatah Melayu ada tertulis,
Jauhari juga yang mengenal manikam.

Ahad, 1 Muharam 1438H

Friday, September 30, 2016

Pilihlah seorang pemimpin di antara ramai


Assalamualaikum Wa Rahmatullah,


Nabi Muhammad  SAW merupakan seorang manusia yang paling mulia dan sempurna ciptaan ALLAH SWT.

Sesungguhnya, sesiapa yang ingin menulis tentang topik pemimpin (leader) atau pun kepemimpinan (leadership), penulisannya tidak lengkap sekiranya nama kekasih ALLAH ini dipinggirkan. 

Di tanah air kita Malaysia yang tercinta ini, kita mempunyai pilihan untuk menulis apa yang kita fikir sesuai, berdasarkan ambien semasa.

Puisi saya di bawah adalah nukilan dari hati, ditulis dan dipersembahkan untuk tatapan para pembaca, tanpa prejudis.


Pilihlah seorang pemimpin di antara ramai

(1)
Pilihlah seorang pemimpin di antara ramai,
Usah di lantik mereka yang cuai,
Hanya melayan mimpi yang membuai,
Konon merasa dirinya sahaja yang pandai.

(2)
Pilihlah seorang pemimpin di antara ramai,  
Tidak mendiami rumah yang indah permai,
Rakyat dapat merasa ambien aman damai,
Berbilang kaum perasaan kasih tersemai.

(3)
Pilihlah seorang pemimpin di antara ramai,
Tidak banyak menyimpan wang tunai,
Tetapi di dada mempunyai ilmu pelbagai,
Mendapat sokongan padu dari sahabat handai.

(4)
Pilihlah seorang pemimpin di antara ramai,
Bukan sekadar berkicau seperti burung murai,
Bukan juga leka meniup serunai,
Atau seperti ayam jantan kokok berderai.

(5)
Pilihlah seorang pemimpin di antara ramai,
Sudah tentunya ada yang sesuai,
Ibarat padi masak boleh dituai,
Bukan yang melompat seperti tupai.

(6)
Pilihlah seorang pemimpin di antara ramai,
Integriti dan keikhlasan di hatinya tersemai,
Kemenangan bukan berdasarkan sorak-sorai,
Mampu menguruskan masalah hingga selesai.


Jumaat (penghulu hari), 28 Zulhijah 1437H 
 
 

 
 
 
 
 

Wednesday, September 28, 2016

Surau Ar-Rahmah: Bukan Sekadar Jadi Tetamu


Assalamualaikum Wa Rahmatullah,

 Jadual Kuliah Maghrib, Buku Nota dan Direktori Anak Qariah
Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor


(1) 
Daku ke surau tidak menentu,
Setibanya sudah pun terbuka pintu,
Semestinya ada seseorang yang lakukan begitu,
Moga ALLAH memberkatinya dengan sesuatu.



 Surau Ar-Rahmah, Jalan Liku A 8/A, Seksyen 8, Shah Alam



(2)
Masuk waktu azan dilaungkan,
Oleh muazin yang tinggal berdekatan,
Jemaah tegar selalu kelihatan,
Bertegur sapa dan bersalaman secara sepontan.



 Sejadah untuk imam di Surau Ar-Rahmah



(3) 
Menjadi imam daku kurang yakin,
Maklumlah ilmu di dada sangatlah miskin,
Suatu hari nanti agaknya bolehlah mungkin,
Sebelum jasad daku dibacakan talkin.



 Dari dahulu lagi, AJK Surau Ar-Rahmah sememangnya aktif



(4) 
Apa terjadi jika ada kerosakan,
Jemaah masing-masing bertanya sesama rakan,
Agak-agak ada AJK yang menguruskan,
Daku tidak tahu apa hendak dilakukan.



 Selain tempat wuduk di dalam, kolah juga disediakan 
untuk jemaah mengambil wuduk



(5) 
Jangan sekadar bertamu di rumah ALLAH,
Apa-apa kerosakan bukan daku punya masalah,
Buanglah sifat sebegini ke dalam kolah,
Ringankan tulang dan tangan bukannya salah.



Rabu, 26 Zulhijah 1437H

 

Tuesday, September 27, 2016

Hadis Pilihan: Dahulukan Anggota Kanan


Assalamualaikum Wa Rahmatullah,


 Keratan akhbar Utusan Malaysia, Selasa, 27 September 2016, 
muka surat 28


Berdasarkan hadis di atas, sewajarnyalah umat Islam memakai jam tangan di tangan kanan. Bagi yang sudah biasa memakainya di tangan kiri, bolehlah membuat sedikit pertukaran "mindset".



Selasa, 25 Zulhijah 1437H

 

Monday, September 26, 2016

A picture without the caption


Assalamualaikum Wa Rahmatullah,
(May Peace and Mercy of ALLAH be upon you) 


BEFORE (25 August 2016)



AFTER (26 September 2016)



Isnin, 24 Zulhijah 1437H

Tuesday, August 30, 2016

Tugas SPRM Yang Mencabar


Assalamualaikum Wa Rahmatullah,
 

Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad,
mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong 
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 
di Istana Negara pada Selasa, 23 Ogos 2016 


Puisi-puisi berikut ditulis khas untuk menzahirkan rasa kagum di atas kerja dan usaha gigih yang dilakukan oleh kesemua kakitangan SPRM. Mereka menjalankan tugas untuk negara Malaysia yang tercinta.


(1)
Tugas SPRM yang mencabar,
Bukan seperti menangkap ular dalam belukar,
Banyak dokumen yang perlu diselongkar,
Menahan suspect bukan sesuatu yang kelakar.

(2)
Tugas SPRM yang mencabar,
Semangat mereka padu tidak bergegar,
Tanggapan negatif kerap didengar,
Jangan ambil hati sindiran dari luar.

(3)
Tugas SPRM yang mencabar,
Menunggu pendakwaan di mahkamah kena sabar,
Hakim memutuskan bersalah bolehlah senyum lebar,
Kalau tiada rayuan dibuat oleh peguam yang pakar.


Selasa, 27 Zulkaedah 1437H

 

Friday, August 26, 2016

Puisi Kenalah Selalu Ingat Mati


Assalamualaikum,

(1)
Kenalah selalu ingat mati,
Ia sesuatu yang pasti,
Berdoalah moga segala amalan diberkati,
Ajal ini adalah kerja Ilahi. 

(2)
Kenalah selalu ingat mati,
Tidak salah harta banyak dicari,
Beribadatlah seolah-olah pergi esok hari,
Dunia akhirat perlulah kita mengimbangi.

(3)
Kenalah selalu ingat mati,
Jika mampu bersedekahlah dari hati,
Tidak mengapa sedikit asalkan bererti,
Moga ALLAH akan memberi ganti.

(4)
Kenalah selalu ingat mati, 
Masjid dan surau jangan dilupai,
Bersolat jemaah ganjarannya tiada terperi,
Jangan kita jadi orang yang rugi.

(5)
Kenalah selalu ingat mati,
Amalan wajib lakukanlah dengan teliti,
Yang sunat biarlah menjadi sebati,
Agar senang melintasi Titian Sirat nanti.

(6)
Kenalah selalu ingat mati,
Nabi Muhammad orang yang kita sanjungi,
Ziarahlah makam baginda sebagai bukti,
Syafaat Rasulullah di akhirat nilainya paling tinggi.


Jumaat (penghulu hari), 23 Zulkaedah 1437H