Tuesday, June 23, 2015

Beri semangat kepada jemaah kekalkan amalan baik


Assalam,

Dara memakai cincin berlian
Dibeli dari Gedung Jauhari
Artikel tersiar di Berita Harian
Ditulis atas pengalaman sendiri








Pada umumnya, umat Islam mempunyai jadual harian yang agak berlainan sedikit daripada biasa pada Ramadan.  

Mereka akan bangun di awal pagi untuk bersahur. Bagi yang berkesempatan, biasanya mereka akan menuju ke masjid atau surau untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

Ramadan, bulan diturunkan al-Quran boleh ditafsirkan juga sebagai bulan ibadah. Selain menunaikan solat fardu, umat Islam juga akan menunaikan solat tarawih. Ia dilakukan sama ada 20 atau lapan rakaat. Apa pun pilihan, kedua-duanya tidak menyalahi hukum agama. Jemaah juga akan mengerjakan solat witir selepas itu. 

Sebelum berakhir Ramadan, umat Islam juga diwajibkan membayar zakat fitrah. Rukun Islam keempat ini dikenakan kepada mereka yang mampu sahaja.

Masjid, surau adakan tazkirah
Pada Ramadan yang mulia ini, ada sesetengah masjid atau surau mengadakan tazkirah. Ia dilakukan sama ada di pertengahan solat tarawih atau pun selepas selesai solat witir. Penceramah biasanya akan berkongsi sedikit ilmu dengan para jemaah yang dipetik dari al-Quran, hadis atau pun kitab.  

Apa yang kurang sedap didengar ialah apabila sesetengah penceramah mengungkit jemaah yang datang ke rumah Allah. Kononnya mereka memenuhi masjid dan surau hanya apabila tiba Ramadan. Itu pun pada awal Ramadan sahaja.

Sesetengah penceramah juga mengatakan jemaah berasa lebih senang menghulurkan derma atau sumbangan pada bulan yang mulia ini. Bulan lain, jemaah agak liat, kata mereka.

Saya berasa isu jemaah yang ramai memenuhi ruang solat di rumah Allah pada Ramadan tidak perlu diungkit.

Dalam pada itu ada juga penceramah yang bersikap positif dan memandang jauh kehadapan.

Baru-baru ini ketika berceramah di Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8, Shah Alam, Ustaz Zulkifli Ahmad ada berkata: “Penceramah yang baik seharusnya memberikan semangat kepada jemaah agar perbuatan murni mereka akan dikekalkan selepas Ramadan”.

Beliau yang juga pengasas Maahad Al-Quran Asy Syafie (MAQAS) berkata: “Usah prejudis dengan mengatakan mereka akan kembali ke tahap asal selepas  Ramadan nanti. Bertuturlah dengan kata-kata pengharapan kepada mereka.”

Elak riak dalam beribadah
Saya berpendapat, sekurang-kurangnya jemaah telah terbuka hati mereka untuk datang solat berjemaah pada Ramadan. Mereka juga ada iman di hati seperti kita. Perlu di ingatkan bahawa beribadah kepada Allah tidak perlu ditunjuk-tunjuk. Itu riak namanya dan perbuatan ini amat dimurkai Allah SWT.

6 Ramadan 1436H
 

Saturday, June 20, 2015

Selamat datang wahai Ramadan


Assalam,


Orang kita suka durian
Banyak dijual di Kampung Paya
Terima kasih Sinar Harian
Menyiarkan puisi & pantun saya




(1) Selamat datang wahai Ramadan



(1)
Ramai pesawah di Sabak Bernam
Kerja berpeluh sihatkan badan
Matahari Syaaban hampir terbenam
Selamat datang wahai Ramadan

(2)
Kawan sepejabat bernama Shahdan
Dia berasal dari Jerantut
Perbanyak amalan ketika Ramadan
Solat tarawih sangat dituntut

(3)
Abu Bakar nama masyhur
Memasuki syurga sudah terjamin
Jangan terlupa untuk bersahur
Amalan Nabi dan mukmin

(4)
Cuti sekolah pergi ke Selama
Ditemani sahabat bernama Islah
Iftar dimulakan dengan kurma
Itu adalah sunah Rasulullah

(5)
Imam masjid bernama Hasbullah
Muazin pula ialah Hamdan
Selalulah sebut nama Allah
Tingkatkan ibadat di bulan Ramadan

(6)
Tanam jambu di rumah bapa
Petik buah gunakan galah
Mulut berbau tidak mengapa
Harum kasturi di sisi Allah

(7)
Melawat klia2 hari Selasa
Pergi selepas waktu kerja
Hulurlah bantuan sepanjang masa
Bukan sekadar Ramadan sahaja


(8)
Solat Jumaat di Pulau Rusa
Berbaju Melayu warna merah
Ketika menjalani ibadat puasa
Segerakan membayar zakat fitrah



(2) Pemimpin amalkanlah rasmi padi
 



Ambien sekarang sudah berubah
Pemimpin baharu banyak diketengah
Belum tentu selesaikan masalah
Cara perlaksanaan asyik berubah-ubah.

Menjadi pemimpin antara rezeki
Jadilah seperti padi yang berisi
Jangan sampai lupa diri
Bukan sekadar duduk di kerusi.

Jadilah seperti padi yang berisi
Bergunakah pemimpin kepada pengundi
Sesuatu kebuntuan kena diperhalusi
Gunakan akal bukan ikut hati.

Jadilah seperti padi yang berisi
Tunjuk hormat kepada pemerintah negeri
Rakyat diam tetapi memerhati
Pemimpin jangan bersikap hidung tinggi.
 
Padi yang berisi semakin tunduk
Banyak terdapat di merata pelusuk
Jadilah seorang pemimpin yang elok
Rakyat sejahtera tidak berkecamuk.

Padi yang berisi akan dituai
Pemprosesan di kilang bila sesuai
Pilihlah pemimpin di antara ramai
Bukan sekadar kicauan burung murai
Atau ayam jantan kokok berderai.

  
3 Ramadan 1436H

 

Thursday, June 18, 2015

Subuh berjemaah di Surau Ar-Rahmah

 
Assalam,

Isa ke laut waktu malam
Banyak dapat ikan kurau
Selesa tinggal di Shah Alam
Hanya 4minit berjalan ke surau



1 Ramadan 1436H


Thursday, June 4, 2015

Tenang bersolat di Surau Ar-Rahmah

Assalam,


Cuti sekolah pergi ke Selama
Bawa pulang buah pala
Solat adalah tiang agama
Jika khusyuk menambah pahala




Jemaah khusyuk mendengar kuliah Maghrib di Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor


Kedudukan Surau Ar-Rahmah yang terletak di Jalan Liku 8/A, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor ternyata menyenangkan para jemaah tempatan serta penduduk dari luar kawasan melakukan ibadat. Ini kerana kawasannya yang agak strategik serta mempunyai persikataran yang tenang untuk beramal.

Bermula dari waktu Subuh lagi, para jemaah lelaki dan wanita sudah ramai yang datang. Ia termasuk pelajar dari luar negara yang tinggal berdekatan dengan surau ini.

Menurut imam surau tersebut, Mohd Yasin Mohd Sulaiman, solat yang paling payah untuk dilaksanakan secara berjemaah ialah solat Subuh. Pada waktu pagi sebegini, banyak dugaan yang dihadapai untuk datang ke surau bagi tujuan beribadat kepada Allah SWT.

Sebelum memulakan solat, setiap imam bertugas sentiasa memberi ingatan kepada jemaah. Pesanan wajib mereka berbunyi, “Luruskan dan rapatkan saf tuan-tuan. Rapatkan bahu dan samakan tumit di belakang. Ini adalah mengikut sunah Rasulullah SAW”.

Para makmum di surau ini peka dengan gangguan bunyi telefon bimbit semasa solat. Deringan daripada telefon bimbit boleh mengganggu fokus para jemaah. Seorang lagi imam yang juga mantan pengerusi AJK Surau, Dato’ Dr. Mohamad Ali Hassan selalu mengingatkan para jemaah sebelum memulakan solat dengan peringatan, “Matikan bunyi telefon bimbit anda”. Malah turut disebutkan dalam bahasa Inggeris.

Alhamdulillah, bilangan jemaah surau itu agak ramai. Dewan solat utama boleh memuatkan sebanyak 10 baris saf, di mana setiap saf terdiri dari lebih kurang 25 orang jemaah. Manakala, bagi jemaah wanita, pihak pengurusan surau turut menyediakan ruang solat khas di bahagian belakang surau itu.

Surau Ar-Rahmah telah dirasmikan pada 20 April 1995, mempunyai jadual harian yang kemas. Muazin dan imam yang bertugas untuk setiap waktu solat telah dikenal pasti terlebih dahulu. Nama-nama mereka ada tersenarai dan ditampal di papan kenyataan surau. 

Sementara itu, penganjuran majlis ilmu adalah menjadi tulang belakang aktiviti surau Ar-Rahmah ini. Penceramah dari sekitar Selangor dan juga dari negeri-negeri lain juga dijemput untuk menyampaikan ceramah di sesi majlis ilmu selepas solat Maghrib. Kuliah ini diadakan pada setiap malam dan biasanya memakan masa lebih kurang satu jam.

Nama-nama penceramah serta topik yang akan disampaikan biasanya diedar pada setiap hujung bulan. Surau ini juga mengadakan kuliah selepas solat Subuh pada setiap hari Sabtu, Ahad atau pada hari cuti umum. Pendek kata, surau Ar-Rahmah ini sarat dengan aktiviti majlis ilmu untuk para jemaahnya.  

Bagi para jemaah yang memerlukan, surau ini memberi ruang kepada jemaah yang memohon untuk diadakan solat hajat, tahlil arwah, doa selamat dan lain-lain. Pengurusan kematian juga dikelolakan oleh surau ini.

Seorang veteran surau ini, Baharum Omar berkata, “Surau Ar-Rahmah ini lengkap bagi jemaah di Seksyen 8, Shah Alam ini. Kita kenalah sama-sama menjaganya”.

 Surau Ar-Rahmah terletak di Jalan Liku 8/A, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor  

17 Syaaban 1436H