Assalamualaikum,
Ikutlah pemimpin yang berintegriti
Subjek berkenaan kepemimpinan dan
pemimpin telah menjadi perkara perbincangan yang disukai oleh penulis; termasuklah
ahli akademik, penyelidik, ahli politik dan lain-lain. Mereka bersetuju bahawa kualiti
utama bagi seorang pemimpin ialah keperibadian yang baik. Kecekapan untuk
memimpin adalah di tempat kedua.
Mark Sanborn yang menulis dalam bukunya,
You Don’t Need A Title To Be A Leader, berkata bahawa kepemimpinan
ialah satu seni atau kebolehan untuk mendapatkan pelaksanaan yang luar biasa
dari seorang pekerja biasa.
Pemimpin pula ialah seseorang
yang mengetuai sekumpulan orang, khususnya ketua bagi sesebuah negara atau
organisasi. Ini adalah definasi seperti yang terdapat di dalam kamus Oxford Advanced Learner’s Dictionary.
Dua orang penulis iaitu Harvey
Robbins dan Michael Finley yang menulis di dalam buku mereka, The Accidental Leader, pula berkata: “Anda
tidak perlu menjadi seorang yang sempurna untuk menjadi seorang pemimpin yang
tertib”.
Namun, pemimpin yang sesuai untuk
diikuti ialah apabila seseorang itu memperlihatkan sifat atau keperibadian yang
elok, di antaranya ialah integriti.
Kita ingin bertanya, apakah yang
dimaksudkan dengan integrity ini? Sebagai contoh, penulis ada membaca satu iklan
di dalam sebuah akhbar arus perdana, di mana sebuah institusi pengajian tinggi
swasta (IPTS) menggunakan perkataan integriti sebagai salah satu daripada tiga
elemen di dalam cogan kata korporatnya. Elemen yang dua lagi ialah
kebijaksanaan dan kecemerlangan.
Bagi IPTS ini, integriti ialah perihal
sesuatu nilai dan akhlak yang betul dalam kehidupan kita. Ia dilihat sebagai
tulang belakang yang memegang teguh akan sesuatu keperibadian yang positif.
Sebuah lagi IPTS juga
mengiklankan cogan kata mereka dengan menggunakan perkataan-perkataan integriti,
kualiti dan penyayang.
Manakala IPTS yang ketiga pula
membuat publisiti seperti berikut di dalam iklan mereka: integriti yang
menentukan pengambilan kerja dalam dunia korporat.
Oxford Dictionary pula memberikan definasi bagi integriti sebagai
sesuatu yang mempunyai kualiti dari segi amanah serta mempunyai prinsip moral
yang tinggi. Jika seseorang pemimpin itu seorang yang amanah, beliau akan
bercakap benar dan tidak berbohong atau pun menipu.
Moral pula bolehlah dihuraikan
sebagai mempamerkan sesuatu kelakuan yang betul serta standard yang biasa
diterima oleh masyarakat. Pemimpin yang bermoral boleh memahami serta dapat membezakan
di antara mana kelakuan yang betul dan yang salah.
Contoh yang paling cemerlang dari
segi integriti ini ialah Nabi Muhammad SAW. Ketika hayatnya, baginda Rasulullah
diberikan gelaran sebagai “al-Amin”, yang bermaksud orang yang dipercayai.
Seorang penulis, George E. Wolf,
P.E. ada mengatakan bahawa ramai di antara kita suka menambah atau mereka
cerita di dalam laporan, penyampaian atau semasa mengemaskinikan sesuatu
program. Ia bertujuan untuk menarik minat atau agar sesuatu laporan itu boleh
diterima ramai. Mengikut beliau, integriti dan mereka cerita ini adalah konsep
yang tidak selari atau secocok.
Ramai juga pemimpin politik dan korporat
di tanah air yang memberikan ulasan tentang konsep integriti ini. Di antaranya
adalah seperti berikut:
- Kecekapan dan kebolehan
penjawat awam adalah sangat mustahak dan integriti mestilah menjadi
pelengkapnya.
- Di sebabkan kurangnya budaya integriti,
ramai pemimpin korporat telah kecundang semasa krisis kewangan Asia pada 1997
dahulu.
- Apabila anda hidup dengan mengamalkan
integriti, anda berjaya. Anda mempunyai sifat yang terbuka dan jujur. Dengan
itu, kehidupan harian anda tidaklah berserabut, malahan anda kurang mengelamai
perasaan tekanan.
Dalam tahun 2006, Mori of United
Kingdom (UK) dan Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM) telah berganding
bahu membuat soal selidik tentang 15 jenis pekerjaan. Para responden di UK dan
Malaysia mempercayai profesional berikut: pertama ialah doktor; kedua guru dan
ketiga profesor. Ahli politik diletakkan diparas bawah sekali.
Dalam kata lain, jika seseorang pemimpin
itu mempunyai sifat integriti, dia mempunyai kebebasan untuk membuat sesuatu
keputusan dengan bebas, tanpa memihak kepada sesuatu kumpulan. Pertimbangan
hanya dibuat untuk kebaikan syarikat atau organisasi yang dipimpinnya.
Seseorang pemimpin akan diikuti
di sebabkan para pengikut mempunyai rasa hormat serta percaya kepadanya, bukan
sekadar diatas kepandaian memimpin yang dimilikinya.
Sebagai kesimpulan, kita tidak
perlu menghadiri kursus kepemimpinan di Harvard University atau University of Cambridge
untuk mengetahui bahawa ujian asid seseorang pemimpin ialah untuknya menoleh
kebelakang. Ini adalah bertujuan untuk mengetahui sama ada masih ada lagikah para
penyokong yang mengikutnya.
11 Syawal 1436H