Assalamualaikum Wa Rahmatullah,
(May Peace and Mercy of ALLAH Be Upon You)
Semenjak sekian lama, mungkin dari zaman British lagi,
kesemua “gantry signage” untuk jalan susur keluar dari lebuh raya/jalan
persekutuan/jalan negeri, menggunakan perkataan bahasa Inggeris, iaitu
“EXIT”.
Penulis merasakan bahawa setelah kita menyambut
kemerdekaan kali ke-63 baru-baru ini, maka sudah sampai masanya perkataan
“EXIT” diguna dalam dwibahasa, iaitu “EXIT” dan “SUSUR KELUAR” pada “gantry
signage”. Penggunaan dwibahasa ini sudah pun diguna pakai di Arab Saudi dan
lain-lain negara seperti Jepun dan Thailand.
Dengan semangat yang ada, penulis sendiri telah pun memulakan inisiatif ini, secara bersendirian, terlebih dahulu, seperti kronologi di bawah. Pada asasnya, penulis telah berkomunikasi dengan dua entiti yang terlibat secara langsung dengan isu ini, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Penulis merasakan bahawa:
Bukan laksa sebarang laksa,
Laksa dibawa dari Selama,
Bukan bahasa sebarang bahasa,
Memartabatkan bahasa Melayu perkara utama.
Kronologi yang dilalui oleh penulis adalah seperti
berikut:
29 Mei 2020. Penulis menghantar e-mel kepada Bahagian
Aduan di Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), di aduan@llm.gov.my dengan cadangan agar perkataan “EXIT” ditukar kepada
“SUSUR KELUAR”, atau gunakan kedua-duanya sekali. Tiada apa-apa reaksi dari
LLM.
02 Jun 2020. Penulis menghantar tweet kepada Yang
Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Hj. Yusof @PetraJayaMP
dengan cadangan yang sama seperti aduan ke LLM. Mungkin beliau terlepas pandang
dengan tweet ini, kerana sehingga kini, tiapa apa-apa reaksi diterima dari ahli
politik ini.
09 Jun 2020. Memandangkan penulis tidak menerima
jawapan dari Menteri berkenaan, penulis telah mengorak langkah baharu dengan
menghantar e-mel kepada Ketua Pengarah DBP, iaitu Datuk Haji Abang Sallehuddin
bin Abg. Shokeran. Dalam e-mel tersebut, penulis memohon pandangan/nasihat dari
DBP tentang cara untuk bergerak ke hadapan bagi memenangi isu penggunaan
perkataan “EXIT” ini. Dalam balasan pada hari yang sama, beliau menulis, “DBP
akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kerja Raya”. Penulis telah juga
membuat tindakan susulan sebanyak dua kali, iaitu pada 3hb. & 7hb. Julai
2020.
17 Julai 2020. Kegelisahan penulis mula dirasa setelah
pihak DBP tidak memberikan apa-apa jawapan walaupun sesudah dua kali membuat
tindakan susulan, secara terus kepada Ketua Pengarah. Penulis menghantar satu
lagi e-mel kepada DBP, bertanyakan mengapa pihak DBP berdiam diri sahaja.
E-mel ini juga telah disalinkan kepada Pengerusi,
Jawatankuasa Pengelola DBP, iaitu Profesor Datuk Dr. Awang bin Sariyan. Syukur,
pada hari yang sama, Ketua Pengarah DBP membalas e-mel saya. Katanya, “saya
akan minta Ketua Bahagian Penguatkuasaan memberikan penjelasan kepada tuan”.
Dalam e-mel balasan kepada penulis, Puan Nor Hamuni
binti Ibrahim @ Md. Yasin, iaitu Perancang Bahasa, merangkap Ketua Bahagian Penguatkuasaan
DBP, berkata, “DBP telah menghantar surat teguran kepada Ketua Pengarah LLM
pada 15 Jun 2020. Setakat ini, pihak kami masih belum menerima maklum balas daripada
pihak LLM tentang teguran tersebut”.
Untuk rekod, penulis ada meminta salinan surat teguran
tersebut daripada Ketua Pengarah DBP. Sebagai balasan, beliau berkata, “Surat
ini kami kategorikan sebagai sulit. Kami akan membuat teguran berterusan kepada
pihak yang berkenaan”.
23 Julai 2020. Penulis selalu memikirkan bahawa apa
jua komunikasi yang kita lakukan dengan pihak lain, ia kenalah melalui proses
tindakan susulan. Di atas kesedaran ini, penulis telah menulis satu lagi e-mel
kepada Ketua, Bahagian Penguatkuasaan DBP. Penulis berkata, “Sekiranya pihak
DBP masih belum menerima apa-apa jawapan dari LLM, maka sewajarnyalah pihak
puan juga membuat “follow-up” dengan mereka”.
Dalam tempoh masa dua (2) bulan, iaitu Jun dan Julai,
2020, penulis masih belum mendapat perkhabaran positif tentang isu “EXIT” ini.
Pada fikiran penulis, eloklah juga penulis berkomunikasi dengan pihak LLM pula.
Jika dilihat pada permulaan episod ini, penulis ada menyebut bahawa komunikasi
pertama adalah penghantaran e-mel kepada Bahagian Aduan, LLM, pada 29 Mei 2020.
24 Julai 2020. Penulis telah menghantar e-mel sekali
lagi kepada Bahagian Aduan LLM, bertanyakan mengapa aduan saya yang dihantar pada
29 Mei 2020 tidak dijawab. Dengan e-mel susulan dari penulis tersebut, pihak
LLM telah membalas pada hari yang sama, sekali gus memberi Nombor Rujukan
Aduan: 090B-2020. Dalam e-mel balasan kepada penulis, LLM menulis, katanya,
“LLM akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera berhubung isu-isu
yang dibangkitkan yang berada di dalam bidang kuasa LLM. Maklum balas akan
dikemukakan kepada tuan dalam kadar segera sebaik sahaja siasatan selesai
dijalankan”.
11 Ogos 2020. Selepas lapan belas (18) hari berlalu, penulis menerima jawapan daripada LLM, melalui e-mel, yang dihantar oleh Puan Noradilah binti Rosle, Pembantu Tadbir (P/O), Unit Perhubungan Awam, Bahagian Sumber Manusia & Korporat, LLM. Ringkasan jawapan yang diterima dari mereka bolehlah disimpulkan seperti berikut:
(i)
Cadangan
yang dikemukakan oleh penulis adalah baik dan salah satu usaha dalam
memartabatkan bahasa Melayu.
(ii) Perkataan
“EXIT” yang digunakan di papan tanda adalah sebagai indikasi “KELUAR” merupakan
satu perkataan “common” dan mudah difahami oleh mana-mana bangsa seluruh dunia.
(iii) Cadangan untuk menggantikan “EXIT” memerlukan ruang yang lebih besar dan memberi kesan
terhadap keseluruhan struktur dan saiz reka bentuk papan tanda.
(iv)
LLM mengambil
maklum dengan cadangan penulis dan pihak LLM akan sentiasa mengemaskini garis
panduan papan tanda berkaitan mengikut kesesuaian dan keperluan semasa, jika
perlu.
Penulis merasakan bahawa jawapan daripada LLM itu
adalah sabagai “status quo”, maknanya tiada apa-apa perubahan akan dilakukan
terhadap penggunaan perkataan “EXIT” dalam dwibahasa di papan tanda, iaitu
“EXIT” dan “SUSUR KELUAR” seperti yang dicadangkan oleh penulis.
Titik tolak dari suasana begini, penulis memikirkan pula tentang mempraktikan “resourcefulness”. Bukannya apa-apa, penulis hanya ingin mencuba lain-lain kaedah yang mungkin boleh membantu menrealisasikan idea supaya perkataan “EXIT” di papan tanda boleh digunakan dalam dwibahasa, sementelah kita akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-63, pada 31 Ogos 2020.
13 Ogos 2020. Setelah berfikir sejenak, penulis
mendapat ilham untuk berkongsi apa yang terbuku di hati bersama-sama dengan
ahli-ahli Yang Berhormat (YB) atau pun “lawmakers” di Parlimen Malaysia,
melalui media sosial, twitter. Melalui twitter penulis, Kamaruddin Hassan
@HassKamar, penulis telah tweet kepada Parlimen Malaysia @MYParlimen, seperti
berikut: “Mohon YB di Parlimen Malaysia membuka mulut fasal penggunaan “EXIT”
sahaja di “gantry signage”, sejak zaman British. Elok guna dwibahasa (“EXIT”
dan “SUSUR KELUAR”) seperti di Saudi Arabia”.
Tweet tersebut telah juga disalinkan kepada LLM
@LLMrasmi; Ketua Pengarah, LLM @LLMKP; DBP @DBPMalaysia; Kementerian Kerja Raya
@MOWorks; dan Jabatan Kerja Raya Malaysia @JKRMalaysia.
Pada hari yang sama, Ketua Pengarah LLM, Dato’ Ir.
Mohd Shuhaimi bin Hassan telah membalas tweet saya. Katanya, “Nanti saya atur
perbincangan untuk jelaskan isu ini kepada tuan. Sila hubungi kami di LLM atau
kemukakan nombor telefon tuan untuk saya hubungi. Terima kasih”. Penulis telah
memberikan nombor telefon untuk dihubungi dengan menghantar e-mel kepada
Bahagian Aduan, aduan@llm.gov.my.
Sementara itu, penulis ada juga menulis di twitter di
atas topik yang sama, dalam bentuk puisi:
Bukan rusa sebarang rusa,
Rusa putih minum di perigi,
EXIT di Saudi Arabia dwibahasa,
Di Malaysia pula bila lagi.
14 Ogos 2020. Lebih kurang pukul 11:00 pagi, dalam
persiapan penulis untuk menyediakan apa-apa yang perlu untuk pergi solat
Jumaat, penulis menerima panggilan telefon dari staf LLM. Katanya, pejabat
Ketua Pengarah akan menghubungi penulis untuk sebuah sesi penerangan tentang
isu “EXIT” ini.
Tiga (3) bulan telah pun berlalu. Sehingga rencana ini
ditulis, tiada apa-apa berita atau pun reaksi yang penulis terima dari LLM mahu
pun DBP, seakan-akan isu ini dilupakan begitu sahaja. Ada dua (2) persoalan;
pertamanya, jujurkah kita dalam memartabatkan bahasa Melayu? Persoalan yang kedua, adakah “EXIT” ini akan
digunakan sehingga kiamat, tanpa penggunaan dwibahasa, iaitu “EXIT” dan “SUSUR
KELUAR”?
Selasa, 01 Rabiulakhir 1442H