Thursday, June 4, 2015

Tenang bersolat di Surau Ar-Rahmah

Assalam,


Cuti sekolah pergi ke Selama
Bawa pulang buah pala
Solat adalah tiang agama
Jika khusyuk menambah pahala




Jemaah khusyuk mendengar kuliah Maghrib di Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor


Kedudukan Surau Ar-Rahmah yang terletak di Jalan Liku 8/A, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor ternyata menyenangkan para jemaah tempatan serta penduduk dari luar kawasan melakukan ibadat. Ini kerana kawasannya yang agak strategik serta mempunyai persikataran yang tenang untuk beramal.

Bermula dari waktu Subuh lagi, para jemaah lelaki dan wanita sudah ramai yang datang. Ia termasuk pelajar dari luar negara yang tinggal berdekatan dengan surau ini.

Menurut imam surau tersebut, Mohd Yasin Mohd Sulaiman, solat yang paling payah untuk dilaksanakan secara berjemaah ialah solat Subuh. Pada waktu pagi sebegini, banyak dugaan yang dihadapai untuk datang ke surau bagi tujuan beribadat kepada Allah SWT.

Sebelum memulakan solat, setiap imam bertugas sentiasa memberi ingatan kepada jemaah. Pesanan wajib mereka berbunyi, “Luruskan dan rapatkan saf tuan-tuan. Rapatkan bahu dan samakan tumit di belakang. Ini adalah mengikut sunah Rasulullah SAW”.

Para makmum di surau ini peka dengan gangguan bunyi telefon bimbit semasa solat. Deringan daripada telefon bimbit boleh mengganggu fokus para jemaah. Seorang lagi imam yang juga mantan pengerusi AJK Surau, Dato’ Dr. Mohamad Ali Hassan selalu mengingatkan para jemaah sebelum memulakan solat dengan peringatan, “Matikan bunyi telefon bimbit anda”. Malah turut disebutkan dalam bahasa Inggeris.

Alhamdulillah, bilangan jemaah surau itu agak ramai. Dewan solat utama boleh memuatkan sebanyak 10 baris saf, di mana setiap saf terdiri dari lebih kurang 25 orang jemaah. Manakala, bagi jemaah wanita, pihak pengurusan surau turut menyediakan ruang solat khas di bahagian belakang surau itu.

Surau Ar-Rahmah telah dirasmikan pada 20 April 1995, mempunyai jadual harian yang kemas. Muazin dan imam yang bertugas untuk setiap waktu solat telah dikenal pasti terlebih dahulu. Nama-nama mereka ada tersenarai dan ditampal di papan kenyataan surau. 

Sementara itu, penganjuran majlis ilmu adalah menjadi tulang belakang aktiviti surau Ar-Rahmah ini. Penceramah dari sekitar Selangor dan juga dari negeri-negeri lain juga dijemput untuk menyampaikan ceramah di sesi majlis ilmu selepas solat Maghrib. Kuliah ini diadakan pada setiap malam dan biasanya memakan masa lebih kurang satu jam.

Nama-nama penceramah serta topik yang akan disampaikan biasanya diedar pada setiap hujung bulan. Surau ini juga mengadakan kuliah selepas solat Subuh pada setiap hari Sabtu, Ahad atau pada hari cuti umum. Pendek kata, surau Ar-Rahmah ini sarat dengan aktiviti majlis ilmu untuk para jemaahnya.  

Bagi para jemaah yang memerlukan, surau ini memberi ruang kepada jemaah yang memohon untuk diadakan solat hajat, tahlil arwah, doa selamat dan lain-lain. Pengurusan kematian juga dikelolakan oleh surau ini.

Seorang veteran surau ini, Baharum Omar berkata, “Surau Ar-Rahmah ini lengkap bagi jemaah di Seksyen 8, Shah Alam ini. Kita kenalah sama-sama menjaganya”.

 Surau Ar-Rahmah terletak di Jalan Liku 8/A, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor  

17 Syaaban 1436H


2 comments:

  1. Salam Tuan Haji,

    Surau ni memang terkenal dan menjadi tumpuan jemaah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam,

      Saya tinggal di Shah Alam,
      Rumah keduaku surau Ar-Rahmah,
      Nabi ringkaskan makna Islam,
      Beriman kepada Allah & istiqamah.

      Terima kasih.

      Hj. Kamaruddin b Hassan

      Delete